KUALA LUMPUR 23 Dis. – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) akan memulakan program khas untuk pelajar lulusan tahfiz di peringkat sekolah yang mengikuti pengajian kejuruteraan teknologi dan perubatan di universiti itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof. Dr. Mazliham Mohd. Su’ud berkata, program yang akan dimulakan pada tahun depan itu merupakan inisiatif terbaharu pihak universiti sebagai wadah untuk membawa elemen keislaman dalam pengajian di samping menumpukan pengajian akademik.

Menurut beliau, kos untuk mewujudkan program berkenaan yang mencakupi aspek merangka modul-modul pengajian tahfiz dan menyediakan tenaga pengajar berkualiti akan dibiayai pihak universiti.

“Pihak universiti tidak akan membebankan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dari segi penyediaan kewangan, malah akan mengeluarkan kos sendiri dengan bantuan Yayasan UniKL dan bekerjasama dengan badan tertentu untuk mewujudkan program ini.

“Kita mahu pelajar tahfiz lulusan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) diserap ke UniKL untuk mengikuti program pengajian tertentu selain pelajar tahfiz dari sekolah lain boleh memilih UniKL untuk menyambung pengajian mereka di peringkat tertinggi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini semalam.

Dalam pada itu, Mazliham berkata, dalam usaha menjadi salah satu universiti terbaik di Asia untuk program teknikal dan vokasional, UniKL sedang dalam pelan transformasi untuk menjenamakan semula program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berimpak tinggi bagi melahirkan kumpulan pelajar yang mahir mengaplikasikan ilmu di peringkat lapangan.

Katanya, sebagai universiti swasta pertama di negara ini yang memperjuangkan kejuruteraan teknologi, UniKL mengutamakan latihan amali sebanyak 60 peratus supaya pelajar boleh bersaing di peringkat global.

“Selama 20 tahun kami memperjuangkan program TVET di bawah kejuruteraan teknologi dan telah melalui pelbagai fasa sehingga diiktiraf Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dan kita menyasarkan UniKL akan muncul sebagai universiti teknikal dan vokasional terbaik di Asia,” katanya.

Menurut Mazliham, universiti yang ditadbir oleh syarikat milik penuh Mara sejak tahun 2002 itu, sehingga kini mempunyai seramai 29,043 pelajar di peringkat diploma hingga doktor falsafah (PhD) di 14 institusi di seluruh negara.

Katanya, UniKL turut menitikberatkan penghasilan siswazah yang mempunyai unsur-unsur keusahawanan sehingga mereka boleh memanfaatkan keperluan ekonomi dan industri di luar bandar.

“Pihak universiti telah pun mewujudkan geran Putra untuk memberikan bantuan pinjaman dana kepada pelajar universiti ini yang mahu menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Untuk permulaan kita telah pun menyediakan dana sebanyak RM500,000 kepada 44 pelajar dengan pemberian pinjaman maksimum sebanyak RM10,000 setiap orang mengikut bidang perniagaan yang mahu dijalankan dan program ini kita akan teruskan pada masa akan datang demi menggalakkan mereka menjalankan perniagaan sendiri berdasarkan kemahiran yang dipelajari ketika menuntut di universiti,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/unikl-wujudkan-program-khas-pelajar-tahfiz-1.172248#sthash.EkACM5ww.dpuf